Friday 10 August 2012

Tanda Kedatangan Lailatulqadar...

LAILATUL Qadar adalah satu malam pada Ramadan. yang keistimewaannya dikatakan menyamai bilangan seribu bulan. Perkara ini dijelaskan Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya telah kami turunkan al-Quran pada Lailatul Qadar. Tahukah kamu apakah Lailatul Qadar itu? Lailatul Qadar adalah lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadr, ayat 1 - 2)

Gandaan pahala melakukan amal ibadat pada malam itu dikatakan mempunyai nilaiannya lebih 29,500 kali ganda kerana difahami daripada ayat itu, ganjaran pahala adalah lebih banyak dan baik melebihi seribu bulan.



Kebesaran Lailatul Qadar adalah berdasarkan dua perkara.
Pertama, kerana pada malam itu diturunkan al-Quran.

Kedua, pada malam itu akan turun malaikat dalam suatu angkatan yang besar, penuh gilang gemilang untuk memberi taufik dan hidayah kepada orang berpuasa dengan ikhlas.

Disebut sebagai Lailatul Qadar kerana pada malam itu akan turun malaikat untuk mengucapkan salam sejahtera kepada seisi penduduk bumi. Ia juga dikenali dengan nama Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan dan Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang yang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.



Penentuan tarikh dan malam sebenar berlakunya Lailatul Qadar sering kali berlaku perselisihan pendapat di kalangan ulama. Pendapat yang kuat menyatakan bahawa adalah pada malam ganjil sesudah hari yang kedua puluh Ramadan iaitu malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadan.

Perkara ini sesuai dengan hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin mencari Lailatul Qadar hendaklah pada malam kedua puluh tujuh.”


Sebuah lagi hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Carilah dengan segala upaya kamu malam al-Qadar pada malam ganjil daripada sepuluh malam akhir Ramadan.” 


Jelas daripada kedua-dua hadis itu bahawa Lailatul Qadar hanya berlaku pada satu malam pada Ramadan. Ia adalah sebagai perangsang kepada seluruh umat mukmin supaya berebut-rebut untuk mencari pahala dan ganjaran malam al-Qadar dengan melipatgandakan amal ibadat pada malam akhir Ramadan al-mubarak.


Jelas bahawa penyembunyian tarikh Lailatul Qadar akan menguatkan semangat dan kekuatan umat mukmin untuk terus berusaha mendapatkan ganjaran pada malam itu. 


Allah sendiri selalunya menyembunyikan beberapa urusan agama yang lain atas hikmah-hikmah tertentu seperti:-


·  Allah menyembunyikan Lailatul Qadar untuk menguji umatnya sejauh mana tahap amal ibadat mereka sepanjang Ramadan;


·  Allah menyembunyikan saat penerimaan doa (ijabah segala doa) pada Jumaat agar kita berdoa sepanjang hari itu;

·  Allah menyembunyikan sembahyang Wusta dalam solat lima waktu supaya kita memelihara semua waktu solat fardu;

·  Allah menyembunyikan isim adzam antara nama-nama-Nya agar kita menyebut semua nama-Nya (Asmaul Husna);

·  Allah menyembunyikan makna maksiat yang sangat terkutuk supaya kita menghentikan melakukan apa juga bentuk maksiat;

·  Allah menyembunyikan siapa yang menjadi wali antara mukmin supaya kita berbaik sangka terhadap semua orang mukmin;

·  Allah menyembunyikan kedatangan hari kiamat supaya kita selalu bersiap sedia; dan

·  Allah menyembunyikan ajal manusia supaya kita selalu dalam persiapan menemui-Nya;

Bagaimanapun berkaitan Lailatul Qadar, ulama sepakat mengatakan bahawa ada beberapa tanda apabila berlakunya malam itu, antaranya:

·  Orang yang berkesempatan melihat malam al-Qadar dapat merasakan bahawa segala yang ada di bumi dan langit bagaikan bersujud ke hadrat Allah;

·  Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan melihat suasana alam yang terang benderang walaupun berada dalam kegelapan;

·  Sesiapa yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan dapat mendengar salam malaikat dan tutur kata mereka; dan

·  Orang yang berkesempatan menemui malam al-Qadar akan diperkenankan segala doanya.

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa antara tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagaikan bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas. Tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Kelebihan Malam 10 Terakhir Ramadhan...

Antara kelebihan malam 10 Terakhir Ramadhan adalah :-

·  Nabi Muhammad s.a.w memperbanyakkan ibadat pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya. Saidatina Aisyah berkata maksudnya;
“Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 
·  Pada malam 10 terakhir ada satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak).

Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti firman Allah bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1)

Ibn Abbas berkata : “Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfur ke Bait al-E'zzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 25 tahun. 
·  Lailatul Qadar disifatkan lebih baik daripada 1,000 bulan. Perkara ini seperti firman Allah bermaksud : “Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadar, ayat 3)

·  Malam ini juga disifatkan sebagai malam berkat, firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)


·  Pada malam ini juga turunnya malaikat. Malaikat turun bersama-sama berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.

·  Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Allah bermaksud: “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4)

Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ adalah pada malam itu Allah menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.

·  Allah mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan. 

Bilakah Lailatul Qadar? 

Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam 10 terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah bersabda lagi bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Imam Nawawi berpendapat bahawa memandangkan hadis yang menceritakan mengenai Lailatul Qadar berselisih pada waktunya, maka ini menunjukkan bahawa malam itu berpindah-pindah pada setiap tahun. 

Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, Ahmad dan Ibn Majah bahawa Aisyah bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, sekiranya aku berada pada Lailatul Qadar, apa yang aku perlu buat? Baginda menjawab: katakanlah (maksudnya) : “Ya Allah, sesungguhnya engkau Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Pengampun, maka ampunkan dosa-dosaku.” 

·  Iktikaf pada malam 10 terakhir Ramadan yang mana fadilatnya lebih banyak daripada hari biasa. Maksud iktikaf di sini adalah mendampingi masjid untuk mentaati Allah.

Rasulullah tidak pernah sekali pun meninggalkan iktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan hingga Baginda wafat. Isteri baginda.


Syarat sah iktikaf: 

Islam, berakal, tidak berjunub dan bersih daripada haid dan nifas bagi perempuan.

Niat: Iktikaf adalah ibadat yang tidak sah melainkan dengan niat.

Masjid: Iktikaf hendaklah dilakukan di masjid.

Waktu bermula iktikaf: Seseorang yang ingin beriktikaf hendaklah masuk ke dalam masjid sebelum terbenam matahari ke-20 Ramadan.

Waktu berakhir iktikaf: Berakhirnya iktikaf adalah selepas terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadan.